oleh TAPAI
Assalamu’alaikum w.b.t dan Salam Reformasi,
Sejak akhir-akhir ini saya lihat PAS Permatang Pauh khususnya di DUN Penanti kelihatan semakin “garang” mempertahankan pendirian yang dikatakan kehendak akar umbi PAS di situ. Selaku pemerhati dan penyokong Pakatan Rakyat, saya melihat keadaan ini dengan sedikit kekesalan dan rasa terkilan. Adalah tidak dapat dipertikaikan bahawa jika dilihat dari satu sudut, ianya menyuburkan semangat kebebasan bersuara dalam Pakatan Rakyat tetapi usaha kebersamaan harus dinilai pada tahap yang lebih tinggi dan berhemah.
Kita boleh lihat, sudah ada pandangan (disini : http://kedahlanie.blogspot.
Diakui sedikit sebanyak dan tidak harus ditolak mentah-mentah akan ada benarnya penjelasan Ketua Pemuda PAS Permatang Pauh di KedahLanie (http://kedahlanie.blogspot.
Kini pandangan demi pandangan mula diberikan pelbagai pihak dengan cara terbuka menyebabkan tumpuan kepada PRK Penanti sedikit sebanyak terpesong. Malah, Pemuda PAS Permatang Pauh terpaksa pula tampil memberi penjelasan. Saya bimbang perdebatan berterusan, kenyataan demi kenyataan hanya akan memburukkan keadaan. Yang paling menakutkan ialah jika ianya akan mula mempengaruhi pandangan pengundi terutamanya yang masih di atas pagar (yang bukan penyokong tegar Pakatan Rakyat) dan boleh berubah pola pengundian mengikut pandangan semasa mereka. Sedarkah kita bahawa dalam Politik Baru, pengundi sekarang sudah cerdik dan berinformasi? Setiap perkembangan pastinya akan mereka ikuti tapi tidak semestinya mereka bersuara secara terbuka, sebaliknya di peti undi. Oleh itu, awas! Jangan terlalu mengikut hati.
Harus diingat, matlamat kita adalah untuk bersatu menentang rejim UMNO BN, berbeza pandangan adalah dibolehkan tetapi jangan sampai kita berpecah belah kerana apa jua isu yg kurang menyenangkan kita. Juga kita harus fikir, apakah pandangan 24 cawangan PAS itu mencerminkan pandangan keseluruhan rakyat Penanti? Itu satu lagi sudut yg harus kita lihat.
Adakah pandangan tersebut boleh menjayakan Pakatan Rakyat? Satu lagi sudut yang harus kita halusi juga. Apakah dengan mengumumkan secara terbuka tindakan membekukan jentera pilihanraya yang dilihat sebagai tekanan kepada pimpinan PAS Pusat dan Pakatan Rakyat khususnya adalah suatu tindakan bijak?
Kalau hendak dilihat dari sudut ketidakpuasan hati kita terhadap seseorang calon dari parti rakan, sampai bila pun hal ini tidak akan selesai dengan pertentangan terbuka sebegini. Ini kerana tidak kurang juga pandangan negatif dan ketidakpuasan hati kepada calon-calon PAS yang telah menang. Namun ini tidak harus dijadikan lesen untuk didebatkan di pentas terbuka, lebih baik hal dalaman ini ditangani dengan lebih bijaksana demi meningkatkan prestasi dan kualiti wakil-wakil dari Pakatan Rakyat, baik PAS, PKR atau DAP. Ertinya tidak ada yang sempurna, samada calon / wakil dari parti kita atau parti rakan kita. Yang penting adalah tegur menegur dengan cara yang berhemah dan bersepakat meningkatkan standard yang dicita-citakan demi memperjuangkan nasib dan kehendak rakyat, bukan kedudukan serta kepentingan sendiri atau parti masing-masing.
Pertentangan terbuka tidak menguntungkan Pakatan Rakyat, hanya sekadar memberi "peluru" percuma kepada UMNO BN.
Adalah menjadi hak PAS Permatang Pauh memberi pandangan, tetapi adakah keputusan oleh PAS Pusat akan dihormati demi sebuah perjuangan? Pembahagian kerusi DUN dan Parlimen sebelum ini oleh pimpinan Pakatan Rakyat juga seharusnya dihormati. Hendaknya apa pun keputusannya janganlah sampai boikot memboikot. Disebalik PRK DUN Penanti ini pun, kita harus melihat bahawa pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat juga inginkan calon yang lebih berwibawa dari yang sebelumnya.
Selaku rakyat marhaen, pengundi atas pagar yang memerhatikan perkembangan politik sejak 80-an lagi (bukan sekadar sejak kebangkitan Reformasi) saya berpandangan bahawa PAS tidak akan boleh menang secara menyeluruh tanpa “collaboration” / kerjasama, tolak ansur dengan PKR dan DAP, begitu juga sebaliknya. Ini diakui oleh pucuk pimpinan PAS sendiri dalam usaha dan transformasi imej PAS kini, berbanding dengan imej PAS yang dapat dilihat di tahun 80-an dulu. Saya yakin, ramai lagi pengundi yang berpandangan sedemikian.
Diharapkan pihak yg berkenaan, sila beri sedikit perhatian dan pertimbangan wajar dalam apa jua tindakan. Jangan sampai kepercayaan dan penerimaan rakyat marhaen kepada PAS semakin luntur, sekaligus turut menjejaskan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Percakaran dengan parti rakan tidak akan menambah kuatnya PAS dan jangan ingat PAS boleh terus kuat dengan cara yang terlalu vokal, bersendirian dan mengenepikan kerjasama serta tolak ansur demi mempertahankan pendirian sendiri.
Untuk PAS Permatang Pauh, janganlah sampai “menang sorak, kampung tergadai” dan biarlah sesuatu cabaran ditangani dengan lebih baik dan bijak umpama “menarik sehelai rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak”.
Wassalam.
Tapai (masih Tapai yang dulu....Kak Id boleh tiru..no problem..he he he)
0 comments:
Post a Comment