Photobucket

SPR teliti pindaan akta halang YB kosong kerusi


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil masa sehingga tiga bulan bagi mengkaji pindaan akta untuk menghalang wakil rakyat mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kajian teliti itu akan mengambil pandangan pelbagai pihak sebelum dibawa kepada kerajaan untuk pindaan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya. “Kajian bagi mengelak peletakan jawatan sewenang-wenangnya atas alasan peribadi atau masalah dalam parti,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Beliau berkata, SPR tidak berniat menghalang pilihan raya kecil diadakan tetapi mahu memastikan keperluan mengadakan pilihan raya atas sebab munasabah. Katanya, selepas Pilihan Raya Umum pada Mac lalu, lima pilihan raya kecil diadakan dan dua daripadanya diadakan kerana penyandangnya meletak jawatan. Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos lalu diadakan selepas penyandangnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
Pilihan raya kecil DUN Bukit Selembau pada 7 April lalu pula diadakan kerana penyandangnya, S Manikumar, meletak jawatan kerana masalah peribadi. Kini pilihan raya kecil DUN Penanti akan diadakan apabila bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, meletak jawatan, juga atas alasan peribadi untuk melanjutkan pelajaran. “Seolah-olah ada agenda untuk pilihan raya kecil diadakan untuk melihat kekuatan parti dengan menggunakan rakyat. Mereka langsung tidak memikirkan setiap kali pilihan raya membabitkan wang dan risiko yang tinggi,” katanya. Beliau berkata, pilihan raya kecil dapat dielakkan jika setiap parti memilih wakil rakyat berkelayakan, berwibawa dan bersih untuk berkhidmat kepada rakyat sehingga pilihan raya umum diadakan.


Photobucket



0 comments:

Post a Comment

Pakatan News